Sabtu, 23 Februari 2013

Tujuan Menuntut Ilmu


Setiap perkara yang dilakukan semestinya mempunyai tujuan tertentu, tak kira ia jelas atau tidak. Tujuan ini akan mencorakkan tahap pemikiran dan perilaku kita dalam mencapai sesuatu perkara. Sebagai contoh, tujuan kita beli kereta, tujuan kita hidup, tujuan kita berkahwin, tujuan kita makan, tujuan itu dan tujuan ini. Adakah sekadar itu sahaja.

Apakah yang dimaksudkan dengan tujuan itu? Adakah ia amat penting dalam merealisasikan sesuatu?

Perkara pokok yang perlu kita tahu adalah definisi awal tujuan itu.

Tujuan bererti arah yang diikut, haluan, matlamat, tuntutan bagi mencapai perkara tertentu. Contohnya, "tiap-tiap manusia berusaha untuk mencapai tujuan ini". Tujuan yang jelas dengan niat yang betul akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Maka dapat saya simpulkan bahawa tujuan itu merupakan suatu matlamat yang digariskan bagi mencapai target-target tertentu sama ada untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat setempat ataupun keredhaan tuhan. 

Saya melihat kebanyakkan daripada masyarakat kita pada hari ini meletakkan tujuan sesuatu perkara itu diluar daripada matlamat asal. Sebagai muslim, semua tujuan kita haruslah disertakan kerana allah SWT sesuai dengan keperluan supaya memperoleh pahala. 

Kita sering kali menyuarakan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh supaya nanti bergaji besar, berpangkat tinggi, dapat pujian masyarakat dan sebagainya. Sedangkan, belajar itu adalah untuk menyempurnakan amal dengan betul. 

Maka di sini, saya mengariskan beberapa tujuan asas dalam menuntut ilmu secara umum:

1. Betulkan niat menuntut ilmu. - Niat sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara dan ia akan menentukan sama ada amalan itu diterima atau tidak oleh Allah SWT. Ini telah ditekan oleh Al-Iman Nawawi dalam kitab Hadis 40 nya. Perkara pertama beliau kemukakan adalah mengenai niat, diikuti perkara-perkara lain. Di sini menunjukkan betapa pentingnya niat seseorang itu. Saya sertakan 2 hadis sebagai rujukan mengenai perkara ini. 

Daripada Ka'ab bin Malik r.a, Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka". (Riwayat al-tirmizi, Ibn Majah daripadaIbn Umar al-hakim daripada Jabir bin Abdillah).

Rasulullah SAW bersabda:"Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya dilakukan kerana Allah SWT, tetapi ia mempelajarinya hanya untuk memperoleh harta benda dunia, maka ia tak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat". (H.R Abu Daud)

Maka, Ikhlaskan niat kita dalam menuntut ilmu.


2. Untuk beramal - tujuan kedua kita menuntut ilmu adalah tak lain dan tak bukan adalah untuk beramal sehingga ramai dikalangan ulama memukaddimahkan ilmu itu dari amalan. Ilmu dan amal itu memang tidak dapat dipisahkan diibaratkan aur dengan tebing, Isi dengan kuku dan sebagainya. 

Iman Al-syafie berkata dalam kitabnya iaitu Matan Zubad, "Setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalnya akan ditolak sia-sia". 

Untuk mengambarkan akan kepentingan amal itu, Nabi SAW pernah berdoa ketika selepas menunaikan solat fardu subuh yang berbunyi, " Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima". (H.R. Al-Baihaqi dalam kitab Syu'abul Iman, Juz II, hlmn 284). Doa ini sangat dituntut untuk dibaca ketika diawal pagi sebagai kesungguhan dalam setiap amalan supaya ia diterima oleh Allah.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata, "Ilmu adalah pemimpin amal dan amal adalah pengikutnya". Begitu juga apa yang disabdakan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said, " Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka adalah lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan".

Berdasarkan keterangan ini, saya dapat simpulkan bahawa usaha menuntut ilmu dan disertakan dengan amal adalah sesuatu yang paling berharga bagi memperoleh kecintaan dan keredhaan Allah SWT sama ada di dunia mahupun di akhirat.


3. Untuk keluar daripada kejahilan dan memperbaiki diri demi mencari kebenaran. - Kejahilan atau dalam bahasa mudahnya ialah kebodohan. Ilmu akan memimpin manusia keluar daripada kebodohan dan ini akan menyukarkan orang yang berkepentingan untuk menipu dan mengambil kesempatan terhadap kita. Di samping itu, akidah kita terhadap Allah dapat dipelihara serta menambahkan lagi kecintaan kita kepada Allah. Dengan mendalami ilmu, kita dapat memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik. Sebagai contoh, dengan ilmu, solat kita bertambah khusyuk, setiap ibadah yang dilaksanakan bertambah sempurna, kemajuan negara bertambah sistematik, dan sebagainya.


Antara tujuan lain menuntut ilmu adalah:

4. Mensyukuri kurniaan dan nikmat-nikmat Allah kepada kita.

5. Memperjuangkan agama islam

6. Akal fikiran mampu berfikir dengan adil 

7. Sebagai kesinambungan kepada generasi akan datang.

8. Bagi memperoleh pahala Allah SWT


Sewajarnya kita terutamanya umat islam perlu lebih peka terhadap matlamat ilmu itu. Islam itu telah didasari dengan ilmu dan ilmu itu diiringi dengan amal. Maka amal itu akan membuahkan pahala allah SWT. 

Jauhilah menuntut ilmu itu untuk tujuan duniawi semata-mata dengan pujian-pujian manusia, pangkat yang berjela-jela, duit berbukit-bukit tanpa adanya sifat pemurah, dan perdebatan yang tiada halatujunya. 

Jangan jadikan barat sebagai penanda aras dalam kefakihan menuntut ilmu kerana barat hanya menuntut ilmu untuk dunia semata-mata.


Ilmu itu penyuluh hidup


12 Rabiulakhir 1434

Isnin, 11 Februari 2013

Adab Menuntut Ilmu

Adab Menuntut Ilmu


Ilmu itu adalah cahaya. Untuk mendapatkan cahaya, maka perlunya disertai adab. Adab atau adat?. Ramai dikalangan kita keliru mengenai perkataan tersebut sehingga wujud kecelaruan dalam memahami asas-asas sesuatu tindakan. 

Apa itu adab dan adat?. 

Menurut kamus dewan, adab bermaksud " budi pekerti yang halus, tingkah laku yang baik, budi bahasa". Bagi M. Sastra Praja, beliau menakrifkan adab sebagai " tatacara hidup, penghalusan atau kemulian kebudayaan manusia". Maka, dapat disimpulkan di sini, adab adalah mencerminkan teladan seseorang melalui tindak tanduk perilaku atau perbuatannya terhadap sesuatu perkara seperti adab makan, minum, tidur, pergaulan, memandu dan sebagainya.

Adat (kamus dewan edisi ke-4) pula bermaksud "peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat". Adat dilihat dari segi aturan atau kebiasaan yang lahir, wujud atau terbentuk daripada suatu masyarakat seperti adat dalam perkahwinan, melenggang perut dan lain-lain lagi. 

Saya sangat cenderung untuk bersifat berhati-hati dalam melakukan sesuatu adat itu kerana ia boleh membawa suatu perkara yang buruk jika tersalah pelaksanaanya. Jika ia tidak bertentangan dengan al-quran dan sunnah, diharuskan melakukannya. 

Maka sudah jelas perbezaan antara adab dan adat. "Ambil adab, tinggalkan adat jika bertentangan dengan syariat". 

Dalam menuntut ilmu, adab itu sangat-sangat dituntut bagi melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Adab itu perlu di cari dan diamalkan supaya ia memberi kesan kepada perilaku kita. Ramai dikalangan kita tahu adab tersebut, tetapi sukar untuk diamalkan dan amalan itu perlulah berterusan (istiqamah). 

Ibnul Mubarak dalam tulisannya (kitab Mansuah Al Adab Al Islamiah : 15), " Aku mempelajari adab selama 30 tahun dan aku mempelajari ilmu selama 20 tahun, dan adalah mereka (ulama) mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu", menunjukkan kepada kita betapa pentingnya adab dalam mencari ilmu. Pada hari ini, kita telah banyak menguasai ilmu, tetapi hanya sedikit adab yang dikuasainya. Maka perlunya usaha dalam mempelajari adab kerana adab itu adalah sumber atau permulaan untuk mendapatkan cahaya. 

Saya teringat kata-kata seorang sahabat , dia mengatakan " kita mempunyai ramai yang berilmu (alim), akan tetapi tidak ramai yang mempunyai hikmah (kebijaksanaan, tawaduk)". Untuk menjadi alim memamg mudah, tetapi untuk menjadi seorang yang berhikmah cukup payah. Oleh itu, berusahalah menjadi orang berilmu yang diibaratkan cahaya yang menerangi alam, sebutir pasir menjadi sebuah pulau, biji benih menumbuhkan buah dan hujan membawa rahmat. 

Di sini saya sertakan beberapa adab yang telah diajar oleh ulama-ulama dahulu dan kini untuk kita sebagai panduan.

10 adab dalam menuntut ilmu (Iman Al-Ghazali)
  1. Menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni (Jiwa perlu sentiasa bersih dan tenang).
  2. Tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran (fokus).
  3. Menghormati guru dan golongan intelektual.
  4. Bersifat tekun dalam menuntut ilmu.
  5. Tidak meninggalkan sesuatu ilmu yang terpuji.
  6. Menguasai suatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri (tidak menguasai semua disiplin ilmu sekaligus).
  7. Tertib dalam mendalami ilmu (tidak mencampur adutkan)
  8. Mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari.
  9. Ikhlas (bersih daripada riak dan takabur).
  10. Mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari.

Panduan menuntut ilmu (Syaikh Muhammad shalih Al' utsaimin, "kitabul ilmi")
  1. Ikhlas kerana Allah
  2. Untuk menghilangkan kebodohan diri dan orang lain
  3. Berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syariat
  4. Lapang dada dalam menerima perbezaan pendapat
  5. mengamalkan ilmu yang dipelajari (amal adalah buah dari ilmu)
  6. Menghormati para ulama dan memuliakan mereka
  7. Mencari kebenaran dan sabar (jangan tergesa-gesa, jangan cepat merasa bosan atau keluh kesah).

Adab-adab menuntut ilmu (Ustaz azhar Idrus)
  1. Ikhlas niat
  2. Tekun berusaha dan tawakkal
  3. Menjauhi maksiat
  4. Memilih teman/kawan yang soleh/solehah
  5. Perbanyakkan zikrillah
  6. Menjaga kehormatan (diri, keluarga, masyarakat dan agama)
  7. Doa dan keredhaan ibu-bapa
  8. Menghormati guru
  9. Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi/dipelajari

Adab-adab menuntut ilmu (Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki)
  1. Redha dengan makanan yang sedikit
  2. Sabar menghadapi hidup yang serba susah
  3. Sentiasa mencari redha guru
  4. Duduk menuntut ilmu mengadap kiblat dalam keadaan suci
  5. Jangan menyandar ke dinding atau bantal
  6. Tidak berjalan (memotong) di hadapan guru
  7. Tidak duduk di tempat duduk guru
  8. Banyak berselawat ke atas baginda nabi SAW
  9. Elak berkawan dengan orang yang fasiq dan lagho
  10. Menjaga kemuliaan kitab dengan sewajarnya
  11. Ketika menulis mulakan dengan "basmalah".

Selain itu, antara adab-adab yang lain dalam mendalami ilmu adalah:
  1. Rendah diri (tawaduk)
  2. Menjauhi dari terlampau kenyang
  3. Tidur yang sedikit
  4. Bercakap perkara-perkara yang baik.
  5. Catit apa yang dipelajari.

Kesimpulannya, kita mestilah berusaha menuntut ilmu sehingga akhir hayat. Ilmu yang bermanfaat dapat memberi kesedaran terhadap kekuasaan Allah. Pelajarilah adab-adab supaya ia memberi kehalusan dalam mencari ilmu itu. 

"biar beradab, jangan biadap"


30 Rabiulawwal 1434

Ahad, 10 Februari 2013

Ilmu melalui Pembacaan

Ilmu melalui pembacaan



Ilmu merupakan satu cara atau kaedah yang dilakukan bagi memahami sesuatu perkara atau fenomena. Ilmu sangat diperlukan oleh kita bagi membangunkan kehidupan yang lebih baik. Secara mudahya, Ilmu membawa maksud "tahu", iaitu suatu proses mengenal atau kenal yang diperolehi melalui pelbagai cara dan kaedah. Sebagai contoh, bagaimana kita mengetahui tentang sesuatu kejadian atau fenomena. Ia perlu melibatkan usaha bagi memahaminya dalam apa cara sekalipun. Daripada pemahaman itulah, terhasilnya teori-teori yang diterima pakai oleh manusia.

Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, beliau cenderung menakrifkan ilmu sebagai "ketibaan dalam kalbu seseorang tentang makna sesuatu perkara atau ketibaan oleh kalbu tentang makna sesuatu".

Di sini, konsep ilmu itu membawa maksud "ketibaan atau kemunculan maklumat yang benar dan bermakna ke dalam diri seseorang atau insan". Bagi memastikan ketibaan itu terjadi, suatu usaha / tindakan perlu dilakukan antaranya melalui pembacaan, hubungan dengan alam, pemerhatian, pengalaman, persidangan, perguruan, perbincangan dan sebagainya. Harus ditekankan adalah proses ini perlu dilakukan dengan adab dan akhlak yang terpuji. 

Saya tertarik apa yang dinyatakan oleh Al-Iman Al-Qurtubi, beliau menyatakan ilmu ini sesuatu   yang lebih terang daripada untuk didefinasikan menunjukkan kepada kita terlalu banyak perkara yang merangkumi sesuatu ilmu itu untuk didefinasikan.

Untuk mendapatkan ilmu, kita diajar dengan satu kaedah yang sangat mudah iaitu, "iqra"(bacalah). Membaca adalah satu cara yang paling berkesan untuk mendapatkan maklumat. Maka, marilah membaca sebanyak mungkin bagi memperoleh seberapa banyak maklumat. Pastikan maklumat dipandu dengan kebenaran. Sebaik-baik pembacaan adalah diikuti dengan "bismi rabbi kalladhi khalaqa" (dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk).

Sekian,

29 Rabiulawwal 1434