Isnin, 25 Mac 2013

Terimalah Jodoh Seadanya


Jika kamu dijodohkan akan seseorang (menyukai seseorang) yang ingin dijadikan pasangan hidup, maka cukuplah sekadar melihatnya sebagai bukti akan kerelaan diri dan kesanggupan untuk menerimanya. Setelahan itu, lahir akan perasaan senang dan tenang di hati kamu tanda keredhaan antara kamu dan dia.

Jika kamu rasa tidak senang, jangan bazirkan waktu akan dia untuk kamu menerimanya. Maka warwarkan padanya bahawa kamu tidak menyukainya dengan akhlak.

Jangan biarkan terlalu lama detik-detik berlalu kerana ia akan memperlihatkan akan banyak kelemahan dan keburukan kamu.

Adakalanya kejumudan dalam perhubungan itu lebih baik kerana ia akan mendatangkan banyak keaslian dan kesucian akan hati kepada sesuatu yang bukan hak..

Tidak perlu mencari akan kesesuaian antara kamu kerana tiada kewujudan akan ia setelah mana apa yang sudah diperkatakan.

Ingatlah akan sahabat, hidup ini hanya seketika sahaja.

13 Jamadilawwal 1434

Sabtu, 9 Mac 2013

Perginya Insan Tercinta


Sebuah kisah cinta yang sebenar-benarnya untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan ini. 

Pagi itu, cuaca suram seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku. Angin bertiup gelisah tak tentu arah. Matahari terbit keberatan. Suasana sungguh sunyi sepi tanpa bunyi-bunyian hidupan padang pasir. Walaupun langit telah mulai menguning menerangi alam, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. 


Ketika itu....

Rasulullah dengan suara terbatas memberi khutbah.

"Wahai umatku..,kita semua adalah dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihnya. Maka taati dan bertakwalah kepadanya..."

"Kuwariskan 2 perkara kepada kalian, Al-qur'an dan sunnahku.."

"Barangsiapa mencintai sunnahku, bererti dia mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku.."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu.

Abu bakar menatap mata itu penuh berkaca-kaca, Umar dadanya turun naik menahan nafas dan tangisannya. Usman menghela nafas panjang, manakala Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.


Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba....

Rasulullah akan meninggalkan kita semua, keluh hati semua sahabat ketika itu.

Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat..

Ali dengan pantas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. 

Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Hari itu, matahari kian tinggi tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang dijadikan alas tidurnya.


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seseorang yang berseru mengucapkan salam.

"Bolehkah saya masuk?" tanyanya penuh sopan. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. 

"Maaflah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup daun pintu itu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada anak kesayangannya, Fatimah az-zahra.

"Siapakah itu wahai anakku?"

Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya, tutur Fatimah lembut.

Lalu Rasulullah menatap wajah puterinya itu dengan pandangan yang mengeletar, seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia, dan dialah malakul maut ", kata Rasulullah.

Fatimah tidak dapat menahan ledakkan tangisannya, Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah, tapi Rasulullah menanyakan, kenapa jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggilkan jibril yang sebelumnya sudah siap sedia di atas langit dunia untuk menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hak-ku nanti di hadapan Allah? ", tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti roh-Mu. Semua syurga terbuka luas menanti kedatangan mu", kata jibril.


Tapi, kata-kata jibril itu ternyata tidak membuatkan rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini? ", tanya jibril lagi.

"Khabarkan kepada ku bagaimana nasib umatku kelak? "

"Jangan khuartir wahai rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku, "Kuharamkan syurga bagi siapa saja kecuali umat Muhammad telah berada de dalamnya", kata jibril ". 

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugasnya, perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik, kelihatan seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

" Wahai Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini", perlahan rasulullah berkata.

Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu, jibril ?", tanya Rasulullah pada malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah dicabut ajal", kata jibril.

 Kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tiada tertahankan lagi.

" Ya Allah !!!, dahsyat maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan kepada umatku".

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya seakan tidak bergerak lagi, bibirnya seakan hendak membisikkan sesuatu.

Ali segera mendekatkan telinganya,

    " Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku"
    " Peliharalah solat dan orang-orang lemah di antara kamu"

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan diwajahnya dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir rasulullah yang mulai kebiruan.

    " Ummatii...Ummatii...Ummatii..."

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu..

    " Allahumma Sholli 'ala Muhammad, Wa baarik wasali'alaih"


Note: Kisah ini diambil daripada Video yang dikirimkan oleh Asyir' Ataillah Anet- detik pemergian...insan yang tercinta.


"Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa Mu" ( QS. Ali- Imran : 31)

"Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga aku lebih dicintainya daripada orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya" (HR al-Bukhari)


Kasihku kepada mu akan ku semai,
tiada yang bertaut di hati ini kecuali cintaku kepada mu.

Jikalau aku tidak setandingiMu ya Rasulullah, 
biarlah aku menjadi seakan-akan Abu bakar,
yang mencintaiMu melebihi dirinya sendiri

26 Rabiulakhir 1434

Sabtu, 2 Mac 2013

Sajak - Maafkan Aku




Lebih dua dekad usiaku
Kulihat teman melintas awan
lalu bergayut pada langit.
Aku hanya mendongak seketika.
Melihat kesempurnaan
Ada besi
memaku kakiku ke bumi.

Maafkan aku ayah
kalau lara hatimu kerana kekakuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
pembonceng basikalmu
tatkala kau muda remaja.
Sepertimana kau menyayangiku
aku sering mengingatimu
dengan kasih yang rindu.

Maafkan aku ibu
kalau duka hatimu kerana kebekuanku.
Tetapi aku masih anakmu yang baik
sebaik si anak kecil
yang lena di pangkuanmu
tatkala kau muda jelita.
Sepertimana kau mengasihiku
aku doakan kau sejahtera
dengan sayang tiada tara.

Lebih dua dekad usiaku.
Kulihat teman meluncur ke depan
lalu berlabuh di hujung jalan.
Aku hanya memandang
ada batu
mengikat kakiku.

Maafkan aku sahabat
kalau nestapa hatimu kerana kelambatanku.
Tetapi aku sahabatmu yang baik
Sebaik seorang teman
yang bersama-sama dalam perjuangan ini
kalaupun dilanda petaka.

kita semakin membesar
kita bukan muda remaja dan
kita bukan lagi keanak-anakan
kita adalah kita
yang perlu dididik dengan sempurna kasih..

Aku sahabatmu yang baik
sebaik si jejaka muda
yang tercuri hati kecilnya
oleh kelakuan sopan akhlakmu
tatkala masih belia.

Bagi aku yang kian meningkat usia
akhlak dan sopanmu kekal di kalbu.
Tukar gantinya tetap tiada.


19 rabiulakhir 1434

Tujuan Hidup Manusia



Dulu, masa kecik-kecik, cikgu ada bertanya, " Kamu hendak jadi apa besar nanti?". Saya pun dah tak berapa ingat apa jawapan saya pada masa itu. Ketika itu, tiada kecenderungan untuk memahami hakikat kehidupan ini. Maklum la, budak-budak lagi, yang tahu main saja. Bangun pagi, pergi sekolah, balik sekolah main, lepas itu bila lapar makan, bila malam tidur, Keesokan, bangun semula. Itulah kalender harian kehidupan. 

Selepas alam persekolahan rendah, diikuti persekolahan menengah, dan akhirnya ke universiti. Lepas ini, kerja. Ada duit beli rumah, kereta. Pegang jawatan itu, ini. Kahwin, dapat anak. besarkan anak sehinggalah dipenghujung usia. 

Adakah ini sahaja tujuan kita dicipta?.Adakah ini sahaja kitaran hidup kita?. 

Selepas melalui beberapa proses pengamatan, baru saya faham, bahawa kita diciptakan bukan untuk ini sahaja. Ada sesuatu yang lebih besar yang perlu dilakukan.

Tujuan 1 : beribadah kepada Allah.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Az-zariyat, ayat ke 56, iaitu

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-ku". (surah Az-zariyat, 51: 56).

Apakah makna ibadah?

Sebenarnya, pengertian ibadah itu sangat luas, memadailah pengertian dibawah sebagai asas pemahaman mengenai ibadah.

Dari sudut bahasa, ibadah bermaksud "merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada sesuatu".Manakala dari sudut syara' pula, ibadah adalah "merendah diri, tunduk, patuh dan taat kepada Allah SWT".

Iman Ibn Taimiyah dalam kitab "Al' ubudiyah" mendefinisikan ibadah sebagai "sesuatu sebutan yang mencakup semua yang dicintai dan diredhai Allah SWT berupa perkataan dan perbuatan, baik zahir maupun batin".

Iman At-Thabari pula mentakrifkan ibadah sebagai "ketundukan kepada Allah SWT dengan menjalankan ketaatan dan merendahkan diri kepada-Nya dengan kepasrahan". (Tafsir At-Thabari, 1/160)


Maka, dapatlah kita fahami bahawa ibadah adalah penghambaan atau pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya kerana kecintaan dan keagunggan-Nya dengan berpandukan Al-quran dan sunnah Nabi SAW. Ia juga meliputi segala perbuatan dan tindakan untuk mencapai keredhaan-Nya.

Jadikan setiap perbuatan, tindakan, perlakuan, dan perkataan kita sebagai ibadah supaya ia akan memberikan manfaat di akhirat kelak. Tiada ibadah yang dicintai dan disayangi kecuali ikhlas kerana Allah SWT.

Tujuan 2 : menjadi khalifah, dan 

Tujuan kedua kita dicipta oleh Allah adalah untuk menjadi sebagai khalifah. Maka, benarlah firman Allah SWT dalam surah al-baqarah, ayat 30, iaitu "Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka berkata, "Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?". Allah berfirman, "Sesungguhnya, aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". (Surah Al-Baqarah, 2: 30)

Khalifah adalah seseorang yang mewakili umat dalam urusan kekuasaan dengan penerapan hukum-hukum syara. Sejak kejatuhan Turki uthmaniyyah 1923, sistem kekhalifan dalam islam tamat sepenuhnya.

Akan tetapi, kita masih boleh menjadi khalifah seperti dalam sesebuah keluarga, syarikat, dan sebagainya. Mainkan peranan sebaik-baiknya supaya ia menyumbang ke arah pembentukkan insan yang kamil.

Tujuan 3 : berdakwah menegakkan agama Allah.

Ini berdasarkan keterangan dalam surah Ali-Imran ayat 110 iaitu,"Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman namun kebanyakkan mereka adalah orang-orang fasik". (Ali-Imran, 3: 110)

Kehidupan di dunia ini hanya seketika. Selagi kita diberi peluang oleh Allah, gunakanlah sebaik mungkin. Jadikanlah dunia ini sebagai titian bagi mencapai ke syurga. Tanam sebanyak yang boleh di dunia ini dan tuailah hasilnya di akhirat kelak.

sekian,


19 rabiulakhir 1434