Isnin, 11 Februari 2013

Adab Menuntut Ilmu

Adab Menuntut Ilmu


Ilmu itu adalah cahaya. Untuk mendapatkan cahaya, maka perlunya disertai adab. Adab atau adat?. Ramai dikalangan kita keliru mengenai perkataan tersebut sehingga wujud kecelaruan dalam memahami asas-asas sesuatu tindakan. 

Apa itu adab dan adat?. 

Menurut kamus dewan, adab bermaksud " budi pekerti yang halus, tingkah laku yang baik, budi bahasa". Bagi M. Sastra Praja, beliau menakrifkan adab sebagai " tatacara hidup, penghalusan atau kemulian kebudayaan manusia". Maka, dapat disimpulkan di sini, adab adalah mencerminkan teladan seseorang melalui tindak tanduk perilaku atau perbuatannya terhadap sesuatu perkara seperti adab makan, minum, tidur, pergaulan, memandu dan sebagainya.

Adat (kamus dewan edisi ke-4) pula bermaksud "peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat". Adat dilihat dari segi aturan atau kebiasaan yang lahir, wujud atau terbentuk daripada suatu masyarakat seperti adat dalam perkahwinan, melenggang perut dan lain-lain lagi. 

Saya sangat cenderung untuk bersifat berhati-hati dalam melakukan sesuatu adat itu kerana ia boleh membawa suatu perkara yang buruk jika tersalah pelaksanaanya. Jika ia tidak bertentangan dengan al-quran dan sunnah, diharuskan melakukannya. 

Maka sudah jelas perbezaan antara adab dan adat. "Ambil adab, tinggalkan adat jika bertentangan dengan syariat". 

Dalam menuntut ilmu, adab itu sangat-sangat dituntut bagi melahirkan manusia yang berakhlak mulia. Adab itu perlu di cari dan diamalkan supaya ia memberi kesan kepada perilaku kita. Ramai dikalangan kita tahu adab tersebut, tetapi sukar untuk diamalkan dan amalan itu perlulah berterusan (istiqamah). 

Ibnul Mubarak dalam tulisannya (kitab Mansuah Al Adab Al Islamiah : 15), " Aku mempelajari adab selama 30 tahun dan aku mempelajari ilmu selama 20 tahun, dan adalah mereka (ulama) mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu", menunjukkan kepada kita betapa pentingnya adab dalam mencari ilmu. Pada hari ini, kita telah banyak menguasai ilmu, tetapi hanya sedikit adab yang dikuasainya. Maka perlunya usaha dalam mempelajari adab kerana adab itu adalah sumber atau permulaan untuk mendapatkan cahaya. 

Saya teringat kata-kata seorang sahabat , dia mengatakan " kita mempunyai ramai yang berilmu (alim), akan tetapi tidak ramai yang mempunyai hikmah (kebijaksanaan, tawaduk)". Untuk menjadi alim memamg mudah, tetapi untuk menjadi seorang yang berhikmah cukup payah. Oleh itu, berusahalah menjadi orang berilmu yang diibaratkan cahaya yang menerangi alam, sebutir pasir menjadi sebuah pulau, biji benih menumbuhkan buah dan hujan membawa rahmat. 

Di sini saya sertakan beberapa adab yang telah diajar oleh ulama-ulama dahulu dan kini untuk kita sebagai panduan.

10 adab dalam menuntut ilmu (Iman Al-Ghazali)
  1. Menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni (Jiwa perlu sentiasa bersih dan tenang).
  2. Tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran (fokus).
  3. Menghormati guru dan golongan intelektual.
  4. Bersifat tekun dalam menuntut ilmu.
  5. Tidak meninggalkan sesuatu ilmu yang terpuji.
  6. Menguasai suatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri (tidak menguasai semua disiplin ilmu sekaligus).
  7. Tertib dalam mendalami ilmu (tidak mencampur adutkan)
  8. Mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari.
  9. Ikhlas (bersih daripada riak dan takabur).
  10. Mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari.

Panduan menuntut ilmu (Syaikh Muhammad shalih Al' utsaimin, "kitabul ilmi")
  1. Ikhlas kerana Allah
  2. Untuk menghilangkan kebodohan diri dan orang lain
  3. Berniat dalam menuntut ilmu untuk membela syariat
  4. Lapang dada dalam menerima perbezaan pendapat
  5. mengamalkan ilmu yang dipelajari (amal adalah buah dari ilmu)
  6. Menghormati para ulama dan memuliakan mereka
  7. Mencari kebenaran dan sabar (jangan tergesa-gesa, jangan cepat merasa bosan atau keluh kesah).

Adab-adab menuntut ilmu (Ustaz azhar Idrus)
  1. Ikhlas niat
  2. Tekun berusaha dan tawakkal
  3. Menjauhi maksiat
  4. Memilih teman/kawan yang soleh/solehah
  5. Perbanyakkan zikrillah
  6. Menjaga kehormatan (diri, keluarga, masyarakat dan agama)
  7. Doa dan keredhaan ibu-bapa
  8. Menghormati guru
  9. Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi/dipelajari

Adab-adab menuntut ilmu (Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki)
  1. Redha dengan makanan yang sedikit
  2. Sabar menghadapi hidup yang serba susah
  3. Sentiasa mencari redha guru
  4. Duduk menuntut ilmu mengadap kiblat dalam keadaan suci
  5. Jangan menyandar ke dinding atau bantal
  6. Tidak berjalan (memotong) di hadapan guru
  7. Tidak duduk di tempat duduk guru
  8. Banyak berselawat ke atas baginda nabi SAW
  9. Elak berkawan dengan orang yang fasiq dan lagho
  10. Menjaga kemuliaan kitab dengan sewajarnya
  11. Ketika menulis mulakan dengan "basmalah".

Selain itu, antara adab-adab yang lain dalam mendalami ilmu adalah:
  1. Rendah diri (tawaduk)
  2. Menjauhi dari terlampau kenyang
  3. Tidur yang sedikit
  4. Bercakap perkara-perkara yang baik.
  5. Catit apa yang dipelajari.

Kesimpulannya, kita mestilah berusaha menuntut ilmu sehingga akhir hayat. Ilmu yang bermanfaat dapat memberi kesedaran terhadap kekuasaan Allah. Pelajarilah adab-adab supaya ia memberi kehalusan dalam mencari ilmu itu. 

"biar beradab, jangan biadap"


30 Rabiulawwal 1434

1 ulasan: