Sabtu, 23 Februari 2013

Tujuan Menuntut Ilmu


Setiap perkara yang dilakukan semestinya mempunyai tujuan tertentu, tak kira ia jelas atau tidak. Tujuan ini akan mencorakkan tahap pemikiran dan perilaku kita dalam mencapai sesuatu perkara. Sebagai contoh, tujuan kita beli kereta, tujuan kita hidup, tujuan kita berkahwin, tujuan kita makan, tujuan itu dan tujuan ini. Adakah sekadar itu sahaja.

Apakah yang dimaksudkan dengan tujuan itu? Adakah ia amat penting dalam merealisasikan sesuatu?

Perkara pokok yang perlu kita tahu adalah definisi awal tujuan itu.

Tujuan bererti arah yang diikut, haluan, matlamat, tuntutan bagi mencapai perkara tertentu. Contohnya, "tiap-tiap manusia berusaha untuk mencapai tujuan ini". Tujuan yang jelas dengan niat yang betul akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Maka dapat saya simpulkan bahawa tujuan itu merupakan suatu matlamat yang digariskan bagi mencapai target-target tertentu sama ada untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat setempat ataupun keredhaan tuhan. 

Saya melihat kebanyakkan daripada masyarakat kita pada hari ini meletakkan tujuan sesuatu perkara itu diluar daripada matlamat asal. Sebagai muslim, semua tujuan kita haruslah disertakan kerana allah SWT sesuai dengan keperluan supaya memperoleh pahala. 

Kita sering kali menyuarakan kepada anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh supaya nanti bergaji besar, berpangkat tinggi, dapat pujian masyarakat dan sebagainya. Sedangkan, belajar itu adalah untuk menyempurnakan amal dengan betul. 

Maka di sini, saya mengariskan beberapa tujuan asas dalam menuntut ilmu secara umum:

1. Betulkan niat menuntut ilmu. - Niat sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara dan ia akan menentukan sama ada amalan itu diterima atau tidak oleh Allah SWT. Ini telah ditekan oleh Al-Iman Nawawi dalam kitab Hadis 40 nya. Perkara pertama beliau kemukakan adalah mengenai niat, diikuti perkara-perkara lain. Di sini menunjukkan betapa pentingnya niat seseorang itu. Saya sertakan 2 hadis sebagai rujukan mengenai perkara ini. 

Daripada Ka'ab bin Malik r.a, Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka". (Riwayat al-tirmizi, Ibn Majah daripadaIbn Umar al-hakim daripada Jabir bin Abdillah).

Rasulullah SAW bersabda:"Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang seharusnya dilakukan kerana Allah SWT, tetapi ia mempelajarinya hanya untuk memperoleh harta benda dunia, maka ia tak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari kiamat". (H.R Abu Daud)

Maka, Ikhlaskan niat kita dalam menuntut ilmu.


2. Untuk beramal - tujuan kedua kita menuntut ilmu adalah tak lain dan tak bukan adalah untuk beramal sehingga ramai dikalangan ulama memukaddimahkan ilmu itu dari amalan. Ilmu dan amal itu memang tidak dapat dipisahkan diibaratkan aur dengan tebing, Isi dengan kuku dan sebagainya. 

Iman Al-syafie berkata dalam kitabnya iaitu Matan Zubad, "Setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalnya akan ditolak sia-sia". 

Untuk mengambarkan akan kepentingan amal itu, Nabi SAW pernah berdoa ketika selepas menunaikan solat fardu subuh yang berbunyi, " Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima". (H.R. Al-Baihaqi dalam kitab Syu'abul Iman, Juz II, hlmn 284). Doa ini sangat dituntut untuk dibaca ketika diawal pagi sebagai kesungguhan dalam setiap amalan supaya ia diterima oleh Allah.

Saidina Ali bin Abi Talib berkata, "Ilmu adalah pemimpin amal dan amal adalah pengikutnya". Begitu juga apa yang disabdakan oleh Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said, " Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka adalah lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan".

Berdasarkan keterangan ini, saya dapat simpulkan bahawa usaha menuntut ilmu dan disertakan dengan amal adalah sesuatu yang paling berharga bagi memperoleh kecintaan dan keredhaan Allah SWT sama ada di dunia mahupun di akhirat.


3. Untuk keluar daripada kejahilan dan memperbaiki diri demi mencari kebenaran. - Kejahilan atau dalam bahasa mudahnya ialah kebodohan. Ilmu akan memimpin manusia keluar daripada kebodohan dan ini akan menyukarkan orang yang berkepentingan untuk menipu dan mengambil kesempatan terhadap kita. Di samping itu, akidah kita terhadap Allah dapat dipelihara serta menambahkan lagi kecintaan kita kepada Allah. Dengan mendalami ilmu, kita dapat memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik. Sebagai contoh, dengan ilmu, solat kita bertambah khusyuk, setiap ibadah yang dilaksanakan bertambah sempurna, kemajuan negara bertambah sistematik, dan sebagainya.


Antara tujuan lain menuntut ilmu adalah:

4. Mensyukuri kurniaan dan nikmat-nikmat Allah kepada kita.

5. Memperjuangkan agama islam

6. Akal fikiran mampu berfikir dengan adil 

7. Sebagai kesinambungan kepada generasi akan datang.

8. Bagi memperoleh pahala Allah SWT


Sewajarnya kita terutamanya umat islam perlu lebih peka terhadap matlamat ilmu itu. Islam itu telah didasari dengan ilmu dan ilmu itu diiringi dengan amal. Maka amal itu akan membuahkan pahala allah SWT. 

Jauhilah menuntut ilmu itu untuk tujuan duniawi semata-mata dengan pujian-pujian manusia, pangkat yang berjela-jela, duit berbukit-bukit tanpa adanya sifat pemurah, dan perdebatan yang tiada halatujunya. 

Jangan jadikan barat sebagai penanda aras dalam kefakihan menuntut ilmu kerana barat hanya menuntut ilmu untuk dunia semata-mata.


Ilmu itu penyuluh hidup


12 Rabiulakhir 1434

1 ulasan: