Sabtu, 2 Mac 2013

Tujuan Hidup Manusia



Dulu, masa kecik-kecik, cikgu ada bertanya, " Kamu hendak jadi apa besar nanti?". Saya pun dah tak berapa ingat apa jawapan saya pada masa itu. Ketika itu, tiada kecenderungan untuk memahami hakikat kehidupan ini. Maklum la, budak-budak lagi, yang tahu main saja. Bangun pagi, pergi sekolah, balik sekolah main, lepas itu bila lapar makan, bila malam tidur, Keesokan, bangun semula. Itulah kalender harian kehidupan. 

Selepas alam persekolahan rendah, diikuti persekolahan menengah, dan akhirnya ke universiti. Lepas ini, kerja. Ada duit beli rumah, kereta. Pegang jawatan itu, ini. Kahwin, dapat anak. besarkan anak sehinggalah dipenghujung usia. 

Adakah ini sahaja tujuan kita dicipta?.Adakah ini sahaja kitaran hidup kita?. 

Selepas melalui beberapa proses pengamatan, baru saya faham, bahawa kita diciptakan bukan untuk ini sahaja. Ada sesuatu yang lebih besar yang perlu dilakukan.

Tujuan 1 : beribadah kepada Allah.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Az-zariyat, ayat ke 56, iaitu

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-ku". (surah Az-zariyat, 51: 56).

Apakah makna ibadah?

Sebenarnya, pengertian ibadah itu sangat luas, memadailah pengertian dibawah sebagai asas pemahaman mengenai ibadah.

Dari sudut bahasa, ibadah bermaksud "merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada sesuatu".Manakala dari sudut syara' pula, ibadah adalah "merendah diri, tunduk, patuh dan taat kepada Allah SWT".

Iman Ibn Taimiyah dalam kitab "Al' ubudiyah" mendefinisikan ibadah sebagai "sesuatu sebutan yang mencakup semua yang dicintai dan diredhai Allah SWT berupa perkataan dan perbuatan, baik zahir maupun batin".

Iman At-Thabari pula mentakrifkan ibadah sebagai "ketundukan kepada Allah SWT dengan menjalankan ketaatan dan merendahkan diri kepada-Nya dengan kepasrahan". (Tafsir At-Thabari, 1/160)


Maka, dapatlah kita fahami bahawa ibadah adalah penghambaan atau pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya kerana kecintaan dan keagunggan-Nya dengan berpandukan Al-quran dan sunnah Nabi SAW. Ia juga meliputi segala perbuatan dan tindakan untuk mencapai keredhaan-Nya.

Jadikan setiap perbuatan, tindakan, perlakuan, dan perkataan kita sebagai ibadah supaya ia akan memberikan manfaat di akhirat kelak. Tiada ibadah yang dicintai dan disayangi kecuali ikhlas kerana Allah SWT.

Tujuan 2 : menjadi khalifah, dan 

Tujuan kedua kita dicipta oleh Allah adalah untuk menjadi sebagai khalifah. Maka, benarlah firman Allah SWT dalam surah al-baqarah, ayat 30, iaitu "Dan ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka berkata, "Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?". Allah berfirman, "Sesungguhnya, aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". (Surah Al-Baqarah, 2: 30)

Khalifah adalah seseorang yang mewakili umat dalam urusan kekuasaan dengan penerapan hukum-hukum syara. Sejak kejatuhan Turki uthmaniyyah 1923, sistem kekhalifan dalam islam tamat sepenuhnya.

Akan tetapi, kita masih boleh menjadi khalifah seperti dalam sesebuah keluarga, syarikat, dan sebagainya. Mainkan peranan sebaik-baiknya supaya ia menyumbang ke arah pembentukkan insan yang kamil.

Tujuan 3 : berdakwah menegakkan agama Allah.

Ini berdasarkan keterangan dalam surah Ali-Imran ayat 110 iaitu,"Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman namun kebanyakkan mereka adalah orang-orang fasik". (Ali-Imran, 3: 110)

Kehidupan di dunia ini hanya seketika. Selagi kita diberi peluang oleh Allah, gunakanlah sebaik mungkin. Jadikanlah dunia ini sebagai titian bagi mencapai ke syurga. Tanam sebanyak yang boleh di dunia ini dan tuailah hasilnya di akhirat kelak.

sekian,


19 rabiulakhir 1434

Tiada ulasan:

Catat Ulasan